Tazkirah : Jauhi Barah Ego dalam Qiadah Islam

Tuesday, June 21, 2011
Salam 'alaik sahabat2 :)
Maaf kerana sangat lama menyepi.
Artikel minggu ini adalah mengenai sifat ego.
Tajuk kali ini ialah; Jauhi barah Ego dalam qiadah Islam.
Jom hayati..
Setiap dari kita adalah pemimpin..
Ingat hadith Nabi,
 " كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته" ?
Setiap dari kita adalah pemimpin, dan bertanggungjawab di atas 
pimpinannya? 
البخاري (853، 2416، 2419، 2600، 4892، 4904، 6719)، مسلم (1829)، أبو داود (2928)، الترمذي (1705)، أحمد (2/5، 54).

Allahu Allah.
Muhasabah sebentar.
Masih banyak khilaf dan lompong-lompong dosa. 
Masih terlalu jauh dengan qudwah Baginda Rasulullah (صل الله عليه وسلم)
Sama2lah berusaha, semoga diri yang mengedit post ini akan lebih beringat
khususnya, Amin :)

sumber : TARBAWI

Ego, antara sifat Iblis dan kerana sifat - Ana khairun minhu - itulah dia dilucutkan Allah menjadi sehina-hina makhluk di sisi-Nya. Sifat ego atau boleh dibahasakan sebagai takabbur ini pasti akan meresapi mana-mana individu apatah lagi jika menurut persepsinya dia mempunyai kelebihan berbanding dengan orang lain. Apabila sifat ini menguasai diri seseorang, maka ia akan menyebabkan wujudnya masalah khususnya di dalam tanzim (organisasi) itu. Oleh itu, mari kita semak adakah ada pada diri kita ciri-ciri penyakit tersebut.


(1). Bila jawapan yang diberi betul, dia akan rasa terhibur, senang hati dan bangga

Jawapan yang betul itu adalah menurut pengetahuannya sendiri apatah lagi jika dia ditanya oleh individu-individu yang berpangkat besar atau ilmunya tinggi lalu dia dapat memberikan jawapan dengan baik. Apa sahaja yang dipersoalkan akan cuba dijawabnya biarpun pada hakikatnya dia itu jahil akan pengertiannya yang sebenar. Tiada padannya istilah 'Ana tak tahu', 'nanti ana rujuk balik', 'Wallahu'alam' dan segala jawapan yang padanya seolah-olah boleh menjatuhkan martabat keilmuannya. Adalah merupakan suatu jenayah yang besar di sisi Islam apabila seseorang itu berlagak tahu walhal dia tidak tahu lalu menyebabkannya mengeluarkan pandangan dan fatwa-fatwa yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan orang ramai dan pihak yang meminta pandangannya terjerumus ke arah perkara yang batil.

(2). Jika tidak dilantik memegang sesuatu jawatan, dia akan rasa kecewa dan resah

Sikap gilakan jawatan antara sikap yang buruk. Nabi pernah bersabda yang mafhumnya,“Kami tidak memberi jawatan kepada sesiapa yang memintanya”. Seseorang yang memegang jawatan bermakna dia telah memegang amanah dan ini merupakan adalah suatu perkara yang amat dipandang berat di sisi Islam. Seseorang yang EGO pastinya akan merasa ‘panas’ jika namanya tidak naik menjadi pimpinan walhal sebelum ini dia telah banyak ditaklifkan dengan pelbagai jawatan yang lebih besar daripada itu. Dia akan menganggap seolah-olah kemampuannya tidak dihargai oleh mana-mana pihak sedangkan dia menganggap reputasinya lebih baik daripada orang lain.

(3). Jika dia seorang ketua, dia selalu bersikap kasar ketika memberi arahan kepada orang lain

Ketua seharusnya bersifat memimpin ahli yang berada dibawahnya. Ahli dibawah akan dipimpin dengan baik supaya matlamat sesebuah tanzim itu tidak tersasar dan segala gerak kerja dapatlah dilaksanakan dengan sempurna. Jika ahli bawahan ada melakukan kesalahan, maka seharusnya seorang ketua itu menegur dengan cara yang berhikmah sebaliknya sikap ini membawa kepada menzalimi orang lain dengan menggunakan kuasanya yang ada. Dia akan menggunakan kuasa di tangan sebagai peluang untuk menindas atau mendatangkan kesusahan kepada orang lain.

(4). Jika dia orang bawahan, dia susah untuk taat kepada ketuanya dan bersikap degil

Andainya roda pusingan kehidupan menjadikan gilirannya pula berada di bawah atau menjadi pengikut, ketika itu dia akan menjadi orang yang paling sukar untuk taat setia kepada pihak atasannya. Egonya itu membuatkan dia menjadi amat sukar untuk tunduk kepada peraturan dan perintah ketuanya. Sifat tersebut wujud apatah lagi jika sebelum ini merupakan seorang yang hebat kononnya tempatnya sebelum ini. Dia merasakan dia itu lebih ‘senior’ dalam segala aspek samada dari sudut umur, pengalaman, dan ilmunya berbanding dengan ketuanya yang muda daripadanya dalam aspek tadi.

Ulama yang beramal dalam medan harakah pernah menyebut, tiga golongan manusia yang payah untuk taat :-
  • Orang yang banyak umurnya (lebih senior) ;
  • Orang yang banyak pengalamannya ;
  • Orang yang banyak ilmunya (banyak ilmu tetapi tidak berakhlak).
Ketaatan hanya akan lahir daripada sifat thiqah sesama sendiri antara pimpinan dan ahli yang kedua-duanya memegang taklifan masing-masing dengan penuh ikhlas dalam semua keadaan walaupun dalam perkara yang tidak disukainya (selagi ia tidak bercanggah dengan syara’).

(5). Mudah marah bila dinasihati dan tidak mahu menerima dari orang atau pihak lain

Seolah-olah merasa rendah atau tercabar atau terhina andainya kebenaran itu keluar dari mulut orang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu yang benar itu datangnya daripada orang bawahannya atau orang yang dianggap status sosialnya lebih rendah. Teguran yang diberikan oleh pihak lain bukan sahaja tidak dapat diterima.

(6). Emosional dan mudah tersinggung

Tidak boleh ditegur atau tidak mahu menerima teguran. Teguran boleh menyebabkan dia sakit hati malah timbul dendam terhadap orang yang menegurnya. Islam adalah agama nasihat. Sesiapa sahaja pasti dia itu tidak terlepas dari serba kekurangan dan melakukan kesilapan. Demikianlah betapa pentingnya peranan wujudnya nasihat dan teguran daripada pihak lain kepada dirinya untuk kemaslahatan bersama. Seharusnya teguran itu diterima dengan hati yang ikhlas terbuka. Soal perkara itu benar atau tidak adalah perkara kedua. Ciri orang beriman itu sendiri adalah saling memberi peringatan dan teguran kepada orang lain tidak kiralah siapa atau apapun pangkatnya. Setiap peringatan itu memberikan manfaat yang besar kepada orang yang beriman dan jika ianya tidak dapat dijadikan manfaat sudah pastinya dia itu tidak tergolong dalam ciri orang yang beriman.

(7). Suka dipuji

Sangat suka dipuji malah sentiasa menunggu-nunggu sahaja akan pujian orang kepadanya (ketagih pujian). Apatah lagi jika dia itu dipuji di khayalak ramai dan sudah pastinya dia dirinya itu dipandang tinggi oleh pihak lain. Para Sahabat RA dahulu jika dia dipuji oleh seseorang, maka dia akan membaling capal, pasir atau batu kepada orang yang memujinya kerana bagi mereka ianya boleh menyebabkan amalan mereka ‘hangus’ dengan sifat riya’. Berlainan sekali dengan seseorang yang berikap EGO. Jika dia mendengar pujian terhadap orang lain di hadapannya maka timbul sakit hati kepada orang yang memuji itu dan sakit hati kepada orang yang dipujinya.

(8). Sangat suka berbahas (mencari musuh untuk melakukan perdebatan)

Dalam perbahasan pula sering meninggikan suara. Berbahas pula bukan hendak mencari kebenaran tetapi hendakkan kemenangan. Tujuannya untuk menunjukkan bahawa dia itu lebih hebat daripada pihak lain. Hujah pihak lain akan ditolak mentah-mentah dan baginya hujahnya sahajalah yang betul. Yang penting baginya sudah ada kepuasan dengan mewujudkan suasana ‘panas’ dalam perbahasan demi menunjukkan dia itu petah berbahas dan berhujah.

(9). Memilih kawan di kalangan orang bawahan dengan tujuan tertentu

Tujuan dipilih kawan di kalangan orang bawahan adalah supaya dia itu merasakan dirinya mempunyai kelebihan berbanding dengan yang lain. Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang. Dengan tujuan demikian, dia menganggap bahawa tiada siapa yang dapat menandingi percakapannya dan pandangannya diterima oleh orang lain.

(10). Menonjolkan diri secara berlebihan

Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang. Ini kerana dia berbangga dengan taklifan yang pernah disandangnya. Jika dia menjadi orang nombor dua (2) sekalipun, penampilannya akan melebihi ketuanya dan orang-orang yang lain. Sudah pastinya orang lain akan menganggap bahawa mereka memiliki individu yang cukup berpotensi untuk menggantikan jawatan ketuanya pada masa yang akan datang.

(11). Memperlekehkan orang lain

Sikap memperlekehkan orang lain juga tidak akan wujud pada diri individu yang meraakan dirinya memiliki kekurangan dan kelemahan namun perkara yang sebaliknya berlaku kepada mereka yang EGO. Setiap sifat kekurangan yang wujud pada orang lain akan diperlekehkan seolah-olah mahu menunjukkan bahawa dirinya itu lebih baik dan sempurna berbanding dengan lainnya. Orang yang merendah-rendahkan orang lain tergolongan dalam golongan yang fasiq dan seterusnya membawa kepada perbuatan zalim jika tidak bertaubat. Allah mengecam golongan ini sepertimana di dalam firman-Nya yang bermaksud,“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim” (Surah Al Hujurat:11)

(12). Suka menyampuk perbualan orang lain

Ketika pihak lain memberikan pandangan, amat mudah bagi orang yang EGO itu untuk mencelah dan menyampuk mengikut kehendaknya dengan membelakangkan adab-adab dalam bermesyuarat. Tanpa rasa bertanggunggjawab dan rasa menghormati pandangan pihak lain, dia mudah untuk memintas mana-mana percakapan yang dia rasa tidak bersetuju dengannya seterusnya menyebabkan pandangannya itu mendominasi perbincangan tersebut dan timbul rasa kurang senang dari pihak lain.

(13). Berburuk sangka terhadap orang lain

Sikap buruk sangka merupakan dosa yang amat besar dan kerananya boleh membawa kepada tajasus (mencari-cari kesalahan) dan ghibah (umpatan). Hal ini Allah telah dijelaskan di dalam surah Al Hujurat akan bibit-bibit yang membawa kepada buruk sangka. Firman Allah bermaksud,"Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani” (Surah Al Hujurat:12)

Demikianlah bahayanya berburuk sangka kepada orang lain. Perkara sedemikian tidak disedari oleh golongan yang EGO yang lebih suka berburuk sangka apatah lagi jika kepada seseorang itu tidak dapat memenuhi tuntutannya.

(14). Suka meninggikan suara ketika bercakap

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya” (Surah Al Hujurat:2)

Al ‘ibrah bi’umumil lafdzi la bikhusus as sabab - menunjukkan bahawa sesuatu perintah itu adalah bersifat umum walaupun ia menunjukkan sebab yang khusus. Demikianlah juga dengan maksud firman Allah di atas. Larangan meninggikan suara bukanlah semata-mata dikhususkan kepada Rasulullah SAW tetapi ianya mengajar kita sebagai umatnya akan adab dan akhlak ketika berbicara dengan seseorang apatah lagi jika seseorang itu memiliki kedudukan.

Orang yang EGO akan apabila membicarakan sesuatu perkara, maka dia akan berusaha untuk meninggikan suaranya melebihi kadar yang sepatutnya dan dengan demikian seolah-olah tiada siapa yang berani mencabarnya. Nada percakapannya akan menjadi semakin tinggi apabila dia melihat pihak lain mendengar dengan khusyuk dan menghayati percakapannya. - TARBAWI

PMRAM : karikatur Utusan mempersenda agama ISLAM


Assalamu'alaikum sahabat2.
Di sini ada satu isu semasa yang boleh kita lihat dan fikir.
Apa pendapat kalian?
Baca, fikir, dan teliti ya..
insyaAllah, kita akan lebih celik mata dan hati:)



Merujuk karikatur yang dimuat di dalam dada akhbar Utusan bertarikh 15 Jun 2011, ia dilihat sebagai usaha mempersenda agama Islam. Konten karikatur tersebut menggambarkan bahawa Islam tidak sedikit pun membela hak dan maruah manusia. Di dalam surah al-Taubah ayat 65 dan 66, Allah telah mencela golongan yang mempersenda-senda agama Islam:


“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu) tentulah mereka akan menjawab : sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja. Katakanlah : Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu mempersendakan? (65) Tidak perlu kamu beralasan kerana kamu telah kufur setelah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka bertaubat) nescaya Kami akan mengazab golongan yang lain disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa”.(66)


Berdasarkan ayat ini, terbit hukum terbatal keIslaman seseorang apabila dia melancarkan sendaan terhadap Islam, samada dengan hati, kata-kata atau perbuatan. Pelaku kesalahan tersebut kekal dengan kekufurannya sehingga taubat nasuhanya diterima oleh Allah SWT.

Bahkan kefahaman pelukis yang bertanggungjawab atas karikatur tersebut dengan agama Islam ternyata amat dangkal. Beliau keliru antara pensabitan jenayah zina dan jenayah rogol. Zina tiada unsur paksaan manakala rogol pula sebaliknya. Islam telah memperuntukkan jenayah rogol dengan cara pensabitan yang cukup berbeza dengan jenayah zina. Rogol tidak memerlukan empat orang saksi yang adil sebagaimana zina. Sebaliknya jenayah rogol hanya memerlukan qarinah untuk sabit kesalahan ke atas pesalah.

Menurut Imam al-Jurjani di dalam ensiklopedianya ‘al-Ta’irifat’, qarinah merupakan bukti jelas yang difikirkan logik bagi membantu siasatan kes. Qarinah mestilah sesuatu sumber maklumat yang diketahui umum yang difikirkan relevan untuk dijadikan bahan bukti. Dengan itu, ia mampu merungkai persoalan tersirat terhadap sesuatu kes. Autoriti qarinah dalam mengadili sesuatu dakwaan telah disebut di dalam al-Quran melalui surah Yusuf ayat 27 dan 28;

“Dan jika baju gamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di belakang berkatalah dia: Sesungguhnya kejadian itu adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar”

Nabi Yusuf terbukti tidak bersalah dengan dakwaan rogol apabila didapati terdapat kesan koyak di belakang bajunya. Pada zaman tersebut, ia dianggap qarinah yang cukup jelas menggambarkan situasi antara perogol dan mangsa rogol.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam karyanya ‘al-Turuq al-Hukmiyyah Fi al-Siyasah al-Syar’iyyah’ menyebutkan bahawa para sahabat telah menjadikan hamil sebagai qarinah kepada jenayah zina. Bahkan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad yang mewakili majoriti ulama’ berpendapat bahawa qarinah yang cukup jelas amat berautoriti menjadi pelengkap bagi bahan bukti.

Adapun qarinah bagi kes rogol yang relevan diguna pakai di zaman sekarang, ia termasuk DNA, rakaman video, gambar, cop jari dan sumber-sumber lain mengikut peredaran semasa. Justeru MANHAL PMRAM mencadangkan beberapa inisiatif bersama:

1) Pelukis karikatur dan pihak-pihak yang terlibat diminta bertaubat kerana mempersenda hukum agam Islam. Mereka juga perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam. Ini demi memelihara sensitiviti umat Islam tehadap cara hidup anutan mereka.

2) Kajadian ini membuktikan kekeliruan masyarakat Islam Malaysia terhadap agama anutan mereka sendiri. Ahli akademik Islam perlu mengadakan usaha bersepadu ke arah penerangan dan pemahaman terhadap hukum hakam Islam.

Rujukan:
1) Tafsir Ayat al-Ahkam, Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni.
2) Al-Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah al-Zuhaili.
3) Majmu’ Syarah Muhazzab, Imam Nawawi disempurnakan oleh Syeikh Najib Muthi’iy.
4) Feqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah Zuhaili.
5) Feqh al-Sunnah, Sayyid Sabiq.
6) Al-Nizam al-Qadha’ie Fi al-Feqh al-Islami, Dr. Muhammad Ra’fat Uthman.

Fellow MANHAL yang terlibat:

1) Mohamad Hanif Bin Haron.
2) Abdul Mu’izz Bin Muhammad.
3) Shahrizan Bin Mohd Hazime.